'PKPD dirahsiakan peringkat awal, khuatir mereka lari'

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dibuat secara rahsia sebelum dilaksanakan bagi mengelakkan warga asing di kawasan itu melarikan diri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan pengalaman ketika pelaksanaan PKPD di sekitar Masjid India apabila ramai warga asing keluar daripada kawasan itu kerana takut dengan kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, pelaksanaan PKPD di kawasan itu tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya diputuskan selepas dua minggu pemantauan dan risikan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


“Ia dibuat secara rahsia di peringkat awal kerana kami khuatir mereka melarikan diri dan berisiko mencetuskan jangkitan Covid-19 di kawasan lain.

“Berdasarkan pengalaman di Masjid India, kami memperbaiki prosedur pelaksanaan PKPD untuk kawasan berkenaan kerana keutamaan kami bukan publisiti tetapi mengawal penularan wabak ini.

“Pada masa sama, kami tidak mahu mereka fikir kami cuba mengepung dan menghantar mereka ke negara asal, sebaliknya ini adalah misi untuk menyelamat sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang media di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan beberapa peniaga di dalam kawasan PKPD itu yang mendakwa kerugian selepas barangan basah seperti sayur, ikan dan daging yang mudah rosak jika tidak dijual secepat mungkin.

Ia berikutan maklumat pelaksanaan PKPD itu tidak dimaklumkan lebih awal untuk mereka membuat persediaan dan membawa keluar atau menjual baki barangan berkenaan.

Ketika ini, Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup sehingga Khamis ini untuk tujuan sanitasi sebelum dibuka semula dengan syarat operasi ketat bagi mengelakkan penularan jangkitan di situ.

Santhara berkata, pihaknya ada memberi kebenaran kepada beberapa peniaga untuk membawa keluar barangan basah masing-masing daripada kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Saya juga mencadangkan inisiatif kepada peniaga dengan membeli barangan basah mereka pada harga diskaun untuk diagihkan kepada penduduk dalam kawasan PKPD.

“Kami juga sudah berbincang dengan pihak bank untuk melancarkan urusan keluar masuk wang selain akan turut membantu pihak hotel dalam kawasan itu yang tidak memiliki dapur,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat warga asing yang berjaya meloloskan diri sebelum PKPD dilaksanakan, beliau berkata, pihaknya yakin sekurang-kurangnya 95 peratus warga asing yang menetap di kawasan berkenaan berada dalam kawasan PKPD berdasarkan risikan dilakukan.

Sementara itu, Panglima 12 Briged Infantri Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar memaklumkan ATM mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memasang pagar kawat duri di kawasan PKPD itu, awal pagi semalam.

“Pagar kawat duri dipasang di kawasan seluas 4.03 kilometer (km), merangkumi sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Taman Sri Murni Fasa 1, 2 dan 3 serta Taman Batu View bermula 3.30 pagi semalam membabitkan 10 pegawai dan 222 anggota.

“Ia dipasang bagi menghalang pergerakan keluar dan masuk bagi memudahkan pasukan KKM melakukan ujian saringan,” katanya.

10 views
  • Wix Facebook page
  • Wix Twitter page
  • Instagram App Icon

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my