YWP, MSWP fokus kebajikan atlet
Bagi memastikan atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) terus cemerlang dalam pelajaran, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut menyediakan Bantuan Awal IPT kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Bantuan tersebut merupakan sumbangan YWP ke arah pembangunan sukan serta akademik untuk memastikan atlet WiPers berada dalam kategori berpengetahuan sekali gus mampu bersaing dalam pasaran kerja pada masa hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, lebih daripada 25 atlet WiPers yang berjaya melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dipilih menerima bantuan kali ini.
“Kita menerima permohonan daripada atlet setiap tahun yang mana dalam masa yang sama YWP juga akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) membantu meringankan beban mereka untuk persediaan ke IPT,” ujar beliau.
Bantuan diberikan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM1,500 bagi peringkat Ijazah Sarjana; RM1,000 Ijazah Sarjana Muda dan RM500 Diploma.
Terdahulu, bantuan tersebut disampaikan pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet & Jurulatih Wilayah Persekutuan 2022 bertempat di Dewan Seri Siantan, Putrajaya, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas tentang Program Sumbangan Peranti Komputer Kepada Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM), Zaizalnizam berkata ia merupakan kali pertama diadakan YWP bersama Air Selangor dan akan diteruskan bersama badan korporat yang lain.
“Air Selangor telah menyumbang sebanyak 70 buah alat peranti komputer kepada tujuh PREPKOM di bawah jagaan YWP yang mana ia merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah tema ‘Sesama Mara’ Air Selangor.
“Ia juga merupakan inisiatif untuk membantu masyarakat serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat, persatuan penduduk, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Comments