top of page

‘Terima kasih YWP kerana tanggung kos untuk kami pulang ke Malaysia’


Terkandas di negara asing untuk tempoh lapan bulan tanpa sebarang akses kepada dunia luar sememangnya menyukarkan. Ditambah pula dengan sumber kewangan yang terhad menjadikan kehidupan lebih sukar kerana segala-galanya memerlukan wang untuk keperluan asas.


Melalui misi khas yang diketuai Wisma Putra, kumpulan pertama warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi berjaya dibawa pulang sekali gus memberikan sinar harapan kepada mereka.


Menceritakan detik tersebut, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah berkata sepanjang terkandas di negara tersebut selama lapan bulan, beliau terpaksa menjual apa sahaja termasuk barang perhiasan untuk meneruskan kehidupan.


“Ketika terkandas di Arab Saudi, kewangan susut jadi saya terpaksa jual apa yang ada termasuk emas perhiasan yang dipakai untuk meneruskan kehidupan seperti makan minum, susu dan lampin pakai buang untuk anak-anak. “Selain itu, saya ada juga mohon bantuan daripada keluarga dan mereka melakukan pemindahan wang untuk kami meneruskan kehidupan ketika di sana,” katanya kepada Wilayahku Jumaat lalu.


Beliau yang menetap di Cheras berkata antara kesulitan yang dihadapi adalah sukar mendapat capaian internet selain nombor telefon telah dimatikan ekoran sudah tidak aktif. “Kebetulan di sana selalu ditimpa ribut pasir, jadi ia mengehadkan lagi capaian internet kerana kami bergantung kepada kemudahan WiFi yang disediakan hotel,” katanya. Fatimah mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Wisma Putra, Konsular Malaysia di Jeddah yang membantu dari segi dokumentasi bagi memudahkan kami pulang ke Malaysia.


“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang menanggung kos pengangkutan untuk pulang ke Malaysia. “Selain itu, pihak YWP turut menyambut kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal pagi serta memastikan saya dan dua lagi anak berada dalam keadaan baik sebelum sampai ke rumah,” katanya sambil menyatakan permohonan maaf kepada semua pihak kerana telah membabitkan banyak pihak disebabkan ia melibatkan hubungan bilateral antara dua buah negara.


Sementara itu, kumpulan pertama 36 daripada 63 orang jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022 telah tiba di KLIA pukul 5.50 pagi tadi dengan Malaysia Airlines penerbangan MH153. “Baki 27 orang jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya,” katanya dalam kenyataan. Menjelas lanjut, Wisma Putra berkata urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.


“Ini adalah untuk memelihara hubungan dua hala yang akrab di antara Malaysia dengan Arab Saudi, dan keistimewaan yang telah diberikan kepada Malaysia seperti kemudahan Visa Pelancong yang hanya diberikan kepada 49 buah negara sahaja,” katanya. Wisma Putra menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk memastikan keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara melalui bantuan konsular berdasarkan kepada Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963. Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara. - WILAYAHKU

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page