top of page

YWP bantu maahad tahfiz, individu terjejas akibat PKP

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah menyumbang wang tunai dan barangan makanan kepada pelajar dan penghuni Maahad Tahfiz Dhiya ‘Ul Islah, Kampung Semarak di sini baru-baru ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, sumbangan tersebut merupakan usaha bagi membantu masyarakat yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka tamat pada 14 April ini.

“Kita memahami kesulitan yang terpaksa diharungi sepanjang tempoh PKP sehingga pihak madrasah berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan.

“Memandang terdapat pelajar-pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, pihak Maahad Tahfiz perlu mengambil tanggungjawab menjaga pelajar mereka sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

ANTARA barang keperluan harian yang disumbangkan YWP.

Zaizalnizam berkata, bagi meringankan pihak madrasah, YWP tampil memberikan sumbangan wang tunai RM3,000 dan 20 set barangan keperluan asas untuk sembilan orang kakitangan dan 11 pelajar Maahad Tahfiz tersebut.

“Barang keperluan asas yang disampaikan adalah bahan makanan bernilai RM50 setiap seorang,” katanya.

Zaizalnizam memberitahu, selain daripada sekolah tahfiz, YWP turut membantu individu-individu yang memerlukan bantuan.

“Kebanyakan individu ini layak menerima bantuan yang diumumkan oleh kerajaan seperti program Wilayah Cakna, namun mereka berhadapan dengan masalah pemprosesan yang kadang-kadang mengambil masa sedikit.

“Sekiranya terdapat masalah penghantaran, kita akan depositkan ke dalam akaun masing-masing,” katanya.

Kata Zaizalnizam lagi, YWP juga terlibat dengan pelbagai jenis bantuan Wilayah Cakna seperti khairat kematian untuk mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19, bantuan makanan untuk petugas dan gelandangan serta penangguhan bayaran sewa selama 6 bulan untuk para pembeli rumah di bawah Skim Pembiayaan Rumah PPR MTEN/ PA DBKL. – WILAYAHKU

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page