YWP bantu mangsa banjir kilat di Labuan
Kejadian banjir kilat yang berlaku di Kampung Ganggarak, Jalan Pohon Batu, Labuan pada 21 Oktober lalu menjejaskan kediaman salah seorang penduduk, Abdul Mujim Alamir, 38, apabila air naik mendadak sehingga ke paras pinggang.
Cakna dengan situasi yang berlaku, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun tampil menghulurkan bantuan berupa wang tunai kepada keluarga mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Balai Bomba Layangan, Labuan baru-baru ini.
Terharu dengan bantuan tersebut, Abdul Mujim berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih atas kesudian dan keprihatinan YWP menyantuni mereka yang dalam kesusahan setelah ditimpa bencana tersebut.
“Sebenarnya saya tidak menyangka beliau akan hadir melawat kami. Walaupun sibuk beliau sempat meluangkan masa bertanyakan khabar dan melihat keadaan kami tujuh beranak di pusat ini. “Alhamdulillah, sumbangan tersebut meringankan beban kami untuk membeli keperluan penting seperti peralatan mandi, makanan dan barangan anak-anak seperti lampin, susu dan sebagainya,”ujarnya.
Menceritakan detik kejadian pada pukul 8 malam tersebut, hujan turun lebat beserta kilat menyebabkan air naik dengan cepat sekali gus menenggelamkan rumahnya sehingga ke paras pinggang. “Ketika itu kami sekeluarga sedang makan malam. Bayangkan tak sampai 10 minit air naik mendadak. Saya dan isteri terus capai dokumen penting dan lari ke tempat yang lebih selamat bersama anak-anak. “Selalunya air naik sehingga paras buku lali sahaja tapi malam itu hujan memang lebat. Saya bersyukur keluarga selamat namun agak sedih kerana banyak barang sudah ditenggelami air,” ujarnya yang mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
Tambah penjual barangan terpakai ini lagi, selain memusnahkan barangan rumah dan jualannya, peralatan sekolah anak-anaknya juga seperti komputer riba, buku, pakaian dan kasut turut rosak. “Komputer riba mereka masuk air dan memerlukan kos yang tinggi untuk dibaiki. Sukar buat saya untuk membaikinya memandangkan pendapatan terjejas buat masa ini,” ujarnya yang perlu mencari wang tambahan untuk dijadikan modal berniaga semula. – WILAYAHKU
Kommentare